Rasulullah Puji Manusia Mengingati Mati
Rasulullah Puji Manusia Mengingati Mati
MAKHLUK bernyawa di bumi ini pasti akan menghadapi kematian. Namun bila waktunya, hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Perkara
ini dinyatakan Allah dalam firman-Nya bermaksud : “Semua yang ada di
bumi akan binasa. Dan tetap kekal zat Tuhanmu yang memiliki kebesaran
dan kemuliaan.” (Surah ar-Rahman, ayat 26-27)
Kematian
dan kehidupan yang bersilih ganti dalam perjalanan hidup ini ialah
betapa dunia yang didiami ini sebenarnya bersifat sementara, begitulah
juga kehidupan manusia di dunia ini.
Rasulullah saw juga ada
berpesan kepada umatnya dalam menelusuri titian hidup ini ialah
mengingati mati. Amalan itu bukanlah bertujuan meninggalkan terus urusan
keduniaan, lebih-lebih lagi Islam menyeru umatnya supaya membangunkan
akhirat seimbang dengan pembangunan keduniaan sehingga kebajikan dan
kebaikan itu meliputi kesemuanya.
Membangun keduniaan dengan
bermodalkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah itulah yang sebenarnya
dituntut oleh Islam. Oleh demikian, Rasulullah pernah bersabda yang
bermaksud : “Seandainya terjadi hari kiamat dan di tangan salah seorang
kamu ada biji benih kurma, maka hendaklah dia menanamkannya.” (Riwayat
Ahmad).
Sehubungan itu, Baginda memuji sesiapa yang sentiasa
mengingati mati dalam diari hidupnya sehingga dianggap oleh Rasulullah
sebagai orang paling bijaksana di kalangan orang Mukmin. Rasulullah
pernah bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling bijaksana di kalangan
kamu ialah orang yang sentiasa menghisab dan menghitung dirinya serta
beramal sebagai persediaan untuk mengadap Allah selepas mati.
“Sedangkan
orang yang kurang waras ialah orang yang sentiasa menuruti hawa
nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah.” (Riwayat Tirmizi).
Dalam satu hadis lain, Rasulullah menggalakkan umatnya supaya
memperbanyakkan mengingati mati sebagaimana berdasarkan kepada sabdanya
yang bermaksud: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan
kelazatan.
“Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah,
nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika diingati pada
waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.”
(Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi).
Mafhum yang tersurat dan
tersirat daripada dua hadis itu jelas menyimpulkan bahawa fitnah dunia
ini iaitu daripada isteri, anak pinak, harta, pangkat, keturunan dan
sebagainya selalu mengabui pemikiran dan pandangan hidup manusia, di
samping sentiasa melalaikan dan melekakan manusia daripada matlamat
hidup sebenarnya.
Oleh sebab itulah, Rasulullah sentiasa
menganjurkan umatnya supaya selalu mengingati mati kerana amalan itu
akan membuatkan manusia sedar bahawa pesona atau fitnah dunia yang
menghiasi alam ini hanyalah permainan dan gurauan senda bersifat
sementara.
Ini bermakna, harta yang dicari akan hilang atau habis
juga akhirnya. Anak dan isteri akan ditinggalkan juga apabila maut
datang menjemput seseorang manusia. Pangkat dan keturunan pula akan
luput ditelan bumi.
Dalam hal ini, Allah berfirman dalam yang
bermaksud: “Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya,
nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan liar
durjana). Akan tetapi, Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar
yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya.
“Sesungguhnya Dia
Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya lagi Maha
Melihat dengan nyata.” (Surah asy-Syura, ayat 27).
Dengan mengingati mati, seseorang Muslim akan sentiasa menginsafi
dirinya dan menyedari bahawa Allah Maha Memerhati dan Mengawasi setiap
gerak gerinya sama ada pada waktu terang-terang atau sunyi.
Dengan
mengingati mati juga akan mengurangkan panjang angan-angannya,
menjauhkannya dari fitnah dunia yang mempesona dan membersihkan hatinya
daripada terpalit dengan sifat sombong dan tamak.
Seterusnya,
mengingati mati akan menjadikan seseorang Muslim mempunyai wawasan hidup
duniawi dan ukhrawi yang jelas. Mereka memiliki semangat waja dan
beristiqamah dalam menelusuri titian hidup yang penuh pancaroba dan
hatinya akan sentiasa bergantung harap hanya kepada Allah.
Apa
yang diimpikan dalam dasar jiwa seseorang yang beriman kepada Allah
melalui amalan mengingati mati ini ialah mengharapkan agar apa yang
dijanjikan Allah kepada orang beriman iaitu keredaan Ilahi dan
kebahagiaan abadi dunia dan akhirat.
Perlu diinsafi bahawa
jemputan maut akan datang pada bila-bila masa tanpa mengambil kira masa
sihat atau masa sakit, masa senang atau masa susah, masa muda atau masa
tua, lelaki atau perempuan, masa kaya atau masa miskin dan masa lapang
atau masa sibuk.
Malah maut tidak akan terlewat atau cepat daripada ketentuan ditetapkan oleh Allah di Loh Mahfuz.
Maut
menjadi satu rahsia yang hanya diketahui Allah sebagaimana ditegaskan
dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan
yang tepat mengenai hari kiamat.
“Dan Dialah jua yang menurunkan
hujan dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya mengenai apa yang
terkandung dalam rahim (ibu yang mengandung).
“Dia tiada seorang
pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada
baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi
negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi
Maha Meliputi Pengetahuan-Nya.” (Surah Lukman, ayat 34).
Justeru,
setiap insan sewajarnya menginsafi diri bahawa kehidupan di dunia ini
hanya sementara dan apabila sampai masanya nanti, setiap individu akan
dipanggil menghadap Allah.
Alangkah beruntungnya insan beriman dan bersiap sedia menghadapi hari kematian dengan amal soleh dan ketakwaan kepada Allah.
Sebaliknya,
rugi dan malangnya orang yang mengingkari kepastian hari akhirat dan
tidak beriman kepada Allah, yang tiada lagi peluang kali kedua atau
seterusnya untuk kembali ke dunia.
Kehidupan di dunia hanya
sekali bagi setiap insan dan kehidupan yang sebenarnya kekal abadi ialah
kehidupan pada alam akhirat nanti
wallahuaalam............
No comments:
Post a Comment